Thursday, March 12, 2009

...kehidupan dan pasu retak...

Kehidupan dan pasu retak

Awan di langit kelihatan berkepul-kepul, cahaya matahari sudah ditutupi sinarannya dari sampai ke bumi. Suasana petang itu mendung. Menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.Di satu sudut dunia, berdiri megah sebuah Pusat Pembangun Jiwa . Sebelum itu dinamakan Pusat Pemulihan Akhlak, setelah berlaku pertukaran tampuk pemerintahan negara, ianya ditukar kepada nama Pusat Pembangun Jiwa disebabkan kaji selidik terhadap bekas-bekas ahli juga masyarakat yang memandang sinis terhadap nama ”Pemulihan Akhlak”.


Di satu sudut pusat itu, seorang ahli pusat sedang duduk menghadap tingkap biliknya. Di sampingnya ada satu pasu bunga yang berisi jambangan bunga ros merah, indah dipandang. Baunya masih lagi harum. Keadaan pasu tersebut tidak berapa cantik, sudah ada bekas-bekas retakan juga beberapa tempat yang dibubuh dengan selotape sebagai penguat agar pasu itu boleh terus menabur bakti.Amir merenung jauh kehidupannya. Sudah hampir dua tahun dia duduk di dalam pusat itu. Banyak yang dipelajarinya tentang kehidupan di situ. Cuma akhir-akhir ini, jiwanya merasa bahawa dia masih tidak sanggup untuk kembali kepada masyarakat, takut pendangan sinis masyarakat terhadapnya masih ada.Terkadang, air matanya mengalir menginsafi masa silamnya yang penuh kelam. Tidak sanggup dia ingati semula. Kini , saat itu kembali lagi. Dia cuba untuk membuang semua memori lamanya, tetapi ia hadir bagaikan skrin yang memancarkan ceritanya satu persatu.Air matanya mengalir lagi. Esakannya juga semakin bertambah.


Di pintu biliknya, seorang pegawai Pusat Pembangun Jiwa , Pak Mahmud berdiri memerhati Amir dengan seribu satu perasaan.Amir terdengar bunyi tapak kaki menghampiri, segera dia menoleh wajahnya ke belakang, dilihatnya Pak Mahmud menghampirinya."Owh, Pak Mahmud " ujar Amir dengan suara sedikit getar sambil tangannya cuba membuang air mata yang mengalir di pipinya.‘Duduklah’ pelawa Amir pada Pak Mahmud untuk duduk di kerusi di sampingnya."Amir, Pak Cik lihat, kamu empat lima hari ini kamu tidak seperti biasa. Keceriaan di muka kamu seolah-olah hilang. ” Pak Mahmud cuba menyusun ayatnya.Amir melepaskan sedikit keluhan. Matanya dilepaskan melihat langit yang sudah menurunkan titik-titik hujan. Dirinya tidak berani untuk bertentang mata dengan Pak Mahmud. Pegawai Pusat yang sangat mengambil berat terhadap dirinya itu.“Anak, jika kamu tidak keberatan, pakcik sedia menjadi pendengar setia kamu. Kongsilah apa yang menjadi kegusaran kamu itu, mungkin sekurang-kurangnya ianya boleh membuatkan jiwa kamu sedikit tenang ” lembut Pak Mahmud memujuk Amir.


”Saya…saya takut untuk menghadapi hari-hari mendatang pak Mahmud. Tinggal sebulan lagi saya akan tinggal di sini. Selepas itu, saya perlu keluar kembali menghadapi masyarakat. Apakah mereka akan menerima kembali saya?..apakah mereka tidak lagi memandang serong kepada saya?...saya bingung pak mahmud, bingunggg…” Amir meluahkan isi hatinya.Angin bertiup agak kuat, percikan air hujan banyak yang masuk melalui celahan tingkap. Bunyi hembusan nafas amir ditutupi oleh bunyi guruh di langit.” Amir…Kamu pakcik lihat, antara ramai-ramai ahli pusat ini, kamu yang pakcik nampak banyak kelebihan. Kamu banyak potensi.Pakcik boleh cuba rasa apa yang kamu rasa, cuma kamu perlu kuatkan hati.





Jika pakcik boleh cuba berikan misalan, kamu umpama pasu bunga di hadapan kamu ini. Walaupun ianya sudah retak, sudah banyak tampalan-tampalan, tetapi ia masih utuh menyimpan jambangan bunga ros ini. Walaupun ianya retak, tetapi ia masih punya manfaat.Amir, retakan itu umpama masa lampau kita. Kita tidak boleh membuang masa lalu kita. tetapi kita boleh memperbaiki masa hadapan kita. Pasu ini masih memberi khidmat lagi kepada manusia. Jambangan bunga ros ini menjadi bukti.Begitu juga kita Amir, manusia itu berguna apabila ianya bermanfaat pada orang lain, selagi mana kita boleh tingkatkan manfaat kita terhadap masyarakat maka semakin besarlah nilai kita di sisi mereka, dan manusia terbaik di sisi Tuhan adalah mereka yang banyak memberi manfaat pada orang lain.Jika kamu berjaya tingkatkan keyakinan kamu, pakcik yakin, nilai kamu akan mekar seperti mekarnya jambangan ros ini di dalam pasu yang sudah retak ini. Mereka yang terbaik zaman jahiliyah adalah yang terbaik di zaman islamnya jika mereka memahami, itu pesan nabi kita. ” Tangan Pak Mahmud mengusap bahu Amir serta menggenggam lembut bahunya sebagai tanda keyakinannya pada Amir.

taken from www.iluvislam .com
penulis asal http://umaralfateh.wordpress.com/
-----------------------------------------------------------------------------------------------

Ya Allah, kukuhkan langkahku di jalan ini.. Robbanalatuzi3 qulubana ba'daiz hadaitana wahablana milladungka rahmah innaka antal wahhab.. ameen ameen ya rabbal al ameen..

No comments:

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kegundahan hati dan kesedihan,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari lilitan hutang dan tekanan orang.
Daisypath Anniversary tickers

::kind readers::